ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor optimis Perikatan Nasional (PN) mampu mencatat kemenangan lebih besar pada pilihan raya akan datang dengan menyapu bersih kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.
Menurut beliau, sasaran tersebut bukan sekadar angan-angan, sebaliknya berasaskan prestasi semasa PN di negeri itu serta situasi parti lawan yang didakwanya semakin lemah dan berdepan perpecahan dalaman.
Berucap ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kedah malam tadi, Sanusi berkata kejayaan PAS dan PN menawan semua kerusi DUN di Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 membuktikan kemenangan penuh bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai di Kedah.
“Ketika ini kita mempunyai 33 kerusi. Jika bertanding di semua kawasan dan berjaya menang kesemuanya, ia bukan sesuatu yang mustahil. Terengganu telah membuktikannya dengan kemenangan 32-0,” katanya.
Pada PRN lalu, PN menguasai Kedah dengan memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Daripada jumlah itu, PAS memperoleh 21 kerusi, Bersatu 11 kerusi manakala Gerakan memenangi satu kerusi.
Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) hanya berjaya mempertahankan tiga kerusi iaitu Kota Darulaman, Bakar Arang dan Sidam, manakala Barisan Nasional (BN) gagal memenangi sebarang kerusi.
Dalam ucapannya, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS turut mendakwa DAP sedang berdepan kemerosotan sokongan rakyat sehingga berpotensi kehilangan pengaruh politik di beberapa negeri.
Beliau mendakwa keadaan itu dapat dilihat menerusi perkembangan politik di Sabah dan tidak menolak kemungkinan senario sama berlaku di Kedah.
“Tidak mustahil DAP akhirnya hilang terus pengaruh di Kedah sebagaimana yang sedang berlaku di Sabah,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyatakan keyakinan bahawa PN mampu merampas dua lagi kerusi DUN yang kini berada dalam genggaman PH, iaitu Sidam dan Bakar Arang.
Menurutnya, PKR yang menjadi antara komponen utama kerajaan perpaduan ketika ini sedang berdepan pelbagai masalah dalaman termasuk perebutan kuasa dan perpecahan kepimpinan, sekali gus memberi kelebihan kepada PN.
“Kita yakin mampu menambah dua lagi kerusi. PKR semakin lemah dan berdepan konflik dalaman yang berpanjangan,” katanya.
Sanusi turut menegaskan kestabilan pentadbiran PAS di Kedah sejak beberapa tahun lalu membuktikan kerajaan negeri berjaya mengekalkan suasana aman serta keharmonian dalam kalangan rakyat.
Mengulas mengenai pilihan raya akan datang, beliau mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah diadakan serentak bagi mengelakkan pembaziran serta memudahkan urusan pentadbiran.
Katanya, tempoh matang DUN Kedah hanya akan berakhir pada November 2028, manakala penggal Parlimen dijangka tamat setahun lebih awal iaitu pada November 2027.
“Saya berpandangan pilihan raya Parlimen dan negeri lebih baik diadakan serentak. Jika Parlimen dibubarkan lebih awal sekali pun, Kedah tidak semestinya perlu mengikutinya,” katanya.










