Kes RGB: Dakwaan Ugutan, Campur Tangan Siasatan Dibongkar di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes melibatkan Revenue Group Berhad (RGB) terus membuka pelbagai pendedahan apabila mahkamah didedahkan dengan dakwaan unsur ugutan, tekanan serta kemungkinan campur tangan dalam siasatan berhubung pertikaian pegangan saham syarikat itu sekitar tiga tahun lalu.

Isu berkenaan timbul ketika sesi soal balas terhadap saksi pendakwaan, Datuk Eddie Ng Chee Siong, yang juga bekas pengerusi dan pengasas bersama syarikat berkenaan.

Peguam Datuk Amer Hamzah dalam prosiding tersebut mendedahkan bahawa dua anak guamnya, Ng Shih Fang (Dino) dan Ng Shih Chiow (Brian), telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) milik mereka.

Mahkamah turut diberitahu bahawa laporan yang dirujuk dalam perbicaraan memperincikan satu pertemuan penting pada 4 Februari 2023 di sebuah premis dikenali sebagai The Social di Publika, melibatkan Brian bersama Datuk Chong Loong Men dan Francis Leong Seng Wui.

Menurut laporan itu, pertemuan berkenaan dikatakan bertujuan membincangkan pertikaian korporat yang melibatkan pihak-pihak terbabit.

Dalam keterangannya, Brian mendakwa bahawa kedua-dua individu berkenaan menyatakan siasatan SPRM terhadap beliau dan abangnya boleh dihentikan sekiranya mereka bersetuju dengan terma penyelesaian yang dicadangkan.

Beliau turut mendakwa mereka memberi gambaran bahawa telefon bimbit yang dirampas oleh SPRM boleh dipulangkan sebagai “tanda niat baik”.

Lebih membimbangkan, Brian menyatakan beliau berasa takut dan tertekan susulan kenyataan yang didakwa memberi bayangan bahawa agensi penguat kuasa itu boleh dipengaruhi atau diarahkan dalam konteks pertikaian tersebut.

Bagaimanapun, Datuk Eddie Ng Chee Siong menegaskan di mahkamah bahawa tiada sebarang mandat rasmi daripada lembaga pengarah RGB diberikan kepada mana-mana individu untuk mengadakan rundingan atau menawarkan sebarang penyelesaian berkaitan siasatan tersebut.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa dua pegawai SPRM telah dinamakan sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman berkenaan, atas kapasiti mereka sebagai pegawai penyiasat yang terlibat secara langsung dalam kes itu.

Dalam perkembangan berkaitan, akaun CDS milik kedua-dua individu berkenaan dilaporkan telah dinyahbekukan selepas permohonan semakan kehakiman difailkan, sebelum tindakan tersebut kemudiannya ditarik balik.

Selain itu, mahkamah turut meneliti latar belakang pertikaian dalaman syarikat termasuk penjualan saham oleh individu terbabit pada awal Februari 2023 serta perubahan ketara dalam struktur pemilikan saham RGB.

Perbicaraan juga menyentuh cadangan penyingkiran Dino dan Brian sebagai pengarah syarikat, yang menurut keterangan memerlukan kelulusan pemegang saham melalui mesyuarat agung luar biasa dan bukan keputusan lembaga pengarah semata-mata.

Dalam kes berasingan, kedua-dua beradik itu sebelum ini didakwa pada 14 Mac 2023 di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas tuduhan salah guna harta syarikat membabitkan sebuah kenderaan Toyota Vellfire.

Mereka didakwa mempunyai niat bersama untuk menyebabkan seorang pegawai CIMB Bank Berhad mendaftarkan kenderaan tersebut atas nama Dino tanpa resolusi lembaga pengarah syarikat.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Tuan Rosli Ahmad.
Pihak pembelaan turut diwakili Tan Sri Dzulkifli Ahmad, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How

BBerkaitan

Latest articles