MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk SeriAb Rauf Yusoh menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak perlu ditangguhkan meskipun terdapat cadangan daripada beberapa pihak susulan ketidaktentuan global ketika ini.
Beliau berkata, tiada justifikasi kukuh untuk menangguhkan proses demokrasi itu memandangkan tempoh pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) akan berakhir pada Disember depan.
Menurutnya, berdasarkan peruntukan sedia ada, PRN boleh diadakan pada bila-bila masa bermula Mei hingga tamat tempoh tersebut.
“Setakat ini, saya tidak melihat keperluan untuk menangguhkan pilihan raya kerana alasan yang dikemukakan tidak cukup kuat,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Enrique of Malaccam, hari ini.
Sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan mahu membawa cadangan menangguhkan PRN Johor dan Melaka ke Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Dalam masa sama, Khoo Poay Tiong turut mencadangkan kerajaan negeri memohon pengisytiharan darurat bagi menangguhkan PRN Melaka berikutan isu bekalan global.










