KUALA LUMPUR: Isu salah tadbir urus koporat yang dikaitkan dengan peranan mafia korporat terus menjadi topik hangat dipersoalkan pada perbicaraan membabitkan Revenue Group Berhad (RGB) apabila saksi Datuk Eddie Ng Chee Siong terus siasat oleh pasukan pembelaan.
Nama Chong Loong Men sekali lagi menarik perhatian apabila Peguam, Datuk Amer Hamzah mencadangkan tindakan Eddie Ng mempunyai kaitan dengan isu “korporat mafia” kerana beliau didapati secara tergesa gesa membawa masuk Francis Leong sebagai Ahli Lembaga Pengarah RGB tanpa membuat semakan, penilaian dan pemeriksaan secara menyeluruh namun tidak dipersetujui oleh saksi.
Eddie Ng sebelum itu mengaku kepada mahkamah bahawa beliau hanya mengenali Francis Leong daripada Chong Loong Men dan terus mengambil keputusan untuk membawa Francis masuk ke RGB melalui mesyuarat Agong RGB.
Amer, menegaskan bahawa pelantikan seorang individu (Francis Leong) sebagai ahli lembaga dibuat tanpa pemberitahuan awal kepada pengarah lain, sebaliknya hanya dibangkitkan di bawah agenda “hal-hal lain” dalam mesyuarat lembaga pada 17 Januari 2023.
Eddie mengakui tiada notis awal diberikan kepada ahli lembaga berhubung perkara tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan proses pelantikan.
Dalam pada itu, Mahkamah turut dimaklumkan bahawa profil calon berkenaan hanya diedarkan pada hari mesyuarat berlangsung tanpa maklumat awal kepada pengarah lain.
Amer yang turut membangkitkan sama ada semakan latar belakang telah dilakukan sebelum pencalonan dibuat, namun saksi tidak dapat mengesahkan perkara itu dan menyatakan tidak pasti sama ada semakan tersebut pernah dijalankan.
Dalam perkembangan berkaitan, mahkamah turut didedahkan dengan laporan media serta dokumen mahkamah lain yang dikaitkan dengan individu berkenaan (Chong Loong Men) termasuk dakwaan penglibatan dalam beberapa isu korporat terdahulu.
Walaupun pihak Pendakwaan, Low Chin How cuba membantah kerana dakwanya ianya tidak mempunyai kaitan, namun Amer menegaskan ianya berkaitan dan menceritakan mengenai kronologi yang turut pernah dibangkitkan sebelum ini.
Bagaimanapun, ketika disoal oleh Amer, Eddie menafikan mempunyai pengetahuan terperinci mengenai perkara itu ketika pelantikan dibuat.
Perbicaraan turut menyentuh kronologi kes selepas pelantikan berkenaan, termasuk notis Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dikeluarkan pada 19 Januari 2023 dan diadakan pada 26 Januari 2023, antaranya bagi menyingkirkan dua ahli lembaga lain iaitu tertuduh Ng Shih Fang dan Ng Shih Chiow.
Saksi bersetuju kedua-dua individu tersebut tidak menghadiri mesyuarat itu walaupun telah membantah pelaksanaannya.
Amer turut menyatakan kegagalan kehadiran tertuduh pada masa berkenaan kerana mereka telah ditahan reman oleh SPRM.
Selain isu tadbir urus, mahkamah turut mendengar keterangan berkaitan penutupan akaun CDS milik pihak tertentu yang didakwa tidak berkaitan secara langsung dengan operasi syarikat, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kewajaran tindakan tersebut.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Tuan Rosli Ahmad disambung semula esok. Pihak pembelaan diwakili Peguam, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Amer Hamzah manakala Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwaraya, Low Chin How










