AMPANG: Tekanan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, semakin memuncak apabila sekumpulan aktivis sekali lagi tampil menyerahkan memorandum mendesaknya berundur daripada politik, hari ini.
Kumpulan itu diketuai aktivis politik, Faizan Mohd Nor, yang hadir bersama beberapa penyokong ke Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan dengan membawa mesej tegas agar bekas Timbalan Presiden PKR itu melepaskan jawatan.
Turut kelihatan dalam himpunan tersebut ialah pengasas PKR, Ng Lum Yong, sekali gus menambah perhatian terhadap desakan berkenaan.
Menurut Faizan, kehadiran kali kedua itu dibuat selepas memorandum pertama yang diserahkan sebelum ini tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak Rafizi.
“Ini kali kedua kami datang. Kami mahu beliau bertanggungjawab dan mengambil keputusan untuk berundur,” katanya kepada media di lokasi kejadian.
Beliau menegaskan, tindakan itu bukan didorong sentimen peribadi, sebaliknya berasaskan kebimbangan terhadap prestasi dan hala tuju politik negara.
Dakwanya, Rafizi gagal memainkan peranan dengan berkesan sebagai wakil rakyat serta ketika memegang jawatan dalam kerajaan sebelum ini, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat.
“Kegagalan ini memberi kesan kepada kestabilan politik dan ekonomi, termasuk keyakinan pelabur serta tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai rakyat,” katanya.
Tambah beliau lagi, langkah berundur dilihat sebagai pilihan terbaik bagi membuka ruang kepada kepimpinan baharu yang lebih diyakini serta mampu memulihkan keyakinan umum.
Terdahulu, kumpulan sama pernah mengadakan tindakan serupa di pejabat Invoke Solutions milik Rafizi di Sungai Besi bagi menyerahkan memorandum pertama dengan tuntutan yang sama.










