KUALA LUMPUR: Pendekatan berkecuali aktif yang diamalkan Malaysia terus meletakkan negara ini sebagai destinasi strategik bagi kerjasama pertahanan dan pelaburan antarabangsa, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada syarikat tempatan menembusi rantaian bekalan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar itu membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai kuasa utama dunia tanpa terikat dengan kekangan politik, memberi kelebihan kompetitif kepada pembekal tempatan dalam pasaran semasa.
Menurut beliau, situasi tersebut membolehkan syarikat Malaysia memasuki rantaian bekalan global berasaskan pertimbangan komersial semata-mata, berbanding berdepan halangan geopolitik seperti yang berlaku di beberapa negara lain.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pameran Defence Services Asia (DSA) and National Security (NATSEC) Asia 2026 hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan kini memberi tumpuan membangunkan industri pertahanan sebagai satu ekosistem mampan, yang membolehkan syarikat tempatan bukan sahaja menembusi pasaran antarabangsa, malah mengekalkan kedudukan melalui keupayaan dan kualiti kerja.
“Keupayaan memenangi kontrak perlu disertai disiplin untuk mengekalkannya. Itulah asas sebenar yang harus dibina dalam industri ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa aspek perlindungan harta intelek akan diperkukuh melalui pelaksanaan undang-undang yang pantas dan diyakini, selain memperketat kawalan perdagangan strategik serta memastikan pematuhan kontrak oleh semua pihak.
“Undang-undang akan dilaksanakan secara adil tanpa sebarang pengecualian,” tegasnya lagi.
Anwar turut menjelaskan peranan kerajaan adalah menyediakan persekitaran yang kondusif supaya sektor industri dapat membuat keputusan perniagaan secara bebas, tanpa campur tangan tidak perlu.
“Keputusan komersial terletak pada syarikat, manakala kerajaan bertanggungjawab memastikan asas kepada keputusan itu berada dalam keadaan terbaik,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata interaksi yang berlaku sepanjang pameran seperti DSA dan NATSEC lazimnya menjadi titik permulaan kepada kerjasama jangka panjang, termasuk perbincangan awal yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun sebelum direalisasikan.
Malaysia, katanya, berbesar hati menjadi tuan rumah kepada platform strategik tersebut dan menantikan hasil kerjasama yang bakal tercetus.
Pameran DSA dan NATSEC Asia 2026 yang bertemakan Memperkasa Keupayaan dan Ketahanan Melalui Teknologi menghimpunkan pemain industri pertahanan tempatan dan antarabangsa, selain menampilkan forum, majlis pemeteraian kontrak, penyampaian Surat Niat (LOI) serta dokumen Program Kolaborasi Industri (ICP).










