KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berharap cadangan penubuhan Kementerian Undang-Undang dapat direalisasikan pada tahun hadapan.
Beliau berkata pandangan itu selari dengan keperluan semasa berikutan pertambahan fungsi serta tanggungjawab Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), susulan pelbagai pindaan undang-undang yang dilaksanakan.
“Sepatutnya (BHEUU) menjadi satu kementerian supaya kita melihat undang-undang ini (menjadi) satu elemen yang sangat penting bagi rakyat (yang) bukan saja dilihat di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Bukannya JPM tak penting. Maksud saya dengan ada kementeriannya sendiri, dengan adanya Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian, Ketua Pengarah (maka) dapat bergerak dengan lebih efektif untuk membantu rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Azalina berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice on Wheels (JoW) dan Pentauliahan Pegawai Pengantara Jabatan Bantuan Guaman, hari ini.
Sementara itu pada sidang media, beliau berkata cadangan berkenaan sebelum ini adalah pandangan peribadinya, namun berharap ia dapat diterjemahkan sebagai dasar kerajaan pada masa hadapan.
“Saya harap dapat kita laksanakan satu kementerian untuk bahagian undang-undang, itu pandangan peribadi saya,” katanya.
Beliau berkata antara skop yang semakin berkembang termasuk penubuhan tribunal seperti tribunal antibuli, pengukuhan bantuan guaman serta peranan pembelaan awam yang memerlukan struktur pentadbiran lebih tersusun.
“Banyak pindaan yang kita buat memberikan lebih banyak tugas dan tanggungjawab kepada bahagian undang-undang di bawah JPM, termasuk dari segi petugas dan keperluan jabatan,” katanya.
Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan keperluan untuk menstruktur semula fungsi berkenaan di bawah sebuah kementerian khusus bagi memastikan pengurusan lebih bersepadu dan berkesan.
Justeru, Azalina berpandangan penubuhan kementerian berkenaan dilihat dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan perundangan kepada rakyat, sejajar dengan perubahan landskap undang-undang semasa.
Pada 21 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan sedang menimbang untuk menubuhkan sebuah Kementerian Undang-Undang, khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu.
Perdana Menteri ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 turut berkata langkah itu juga akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam usaha memajukan kedaulatan undang-undang, khususnya dengan negara anggota ASEAN. – BERNAMA










