Kapal Rosak Tangguh Pelepasan, Malaysia Pantau Rapi Laluan Bekalan Bahan Api Di Selat Hormuz

KUALA LUMPUR – Sebuah daripada tujuh kapal Malaysia yang membawa muatan bahan api dilaporkan mengalami kerosakan teknikal, sekali gus gagal berlepas dari pelabuhan di Selat Hormuz, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memaklumkan, daripada dua kapal yang telah melepasi laluan strategik itu, satu telah selamat tiba di negara ini manakala sebuah lagi kini dalam perjalanan dan dijangka memasuki perairan Malaysia tidak lama lagi.

Dalam masa sama, kerajaan terus memantau rapat lima kapal lain yang masih belum melalui Selat Hormuz.

Menurutnya, walaupun pihak Iran telah memberikan kelulusan kepada kesemua tujuh kapal tersebut, gangguan teknikal terhadap salah satu kapal menyebabkan sedikit kelewatan dalam operasi penghantaran bahan api.

“Setakat ini satu kapal sudah tiba, satu lagi hampir sampai, manakala selebihnya masih dalam pemantauan walaupun ada yang telah melepasi laluan berkenaan. Namun, kita berdepan sedikit kekangan susulan perkembangan semasa,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Cyberjaya.

Mengulas dakwaan bahawa Malaysia bercadang menjual minyak kepada negara lain, Anwar menegaskan perkara itu tidak berasas. Sebaliknya, kerajaan kekal mengutamakan keperluan domestik sebelum mempertimbangkan sebarang eksport.

Beliau menjelaskan hubungan dagang antara Malaysia dan rakan antarabangsa lebih bersifat saling melengkapi, termasuk pertukaran sumber seperti urea dan fosfat dengan Australia.

“Keutamaan kita adalah untuk rakyat. Jika ada lebihan, barulah kita akan menilai kemungkinan untuk membekalkannya kepada pihak luar,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengesahkan telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Australia berhubung keperluan strategik kedua-dua negara, selain menolak tuduhan tidak berasas berkaitan urus niaga minyak.

Di pentas antarabangsa, beliau turut menerima panggilan daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang mengajak Malaysia menyertai sidang khas bersama United Kingdom bagi membincangkan isu keselamatan serta kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.

Malaysia bagaimanapun akan diwakili Menteri Luar dalam sidang berkenaan, dengan pendirian negara kekal menyokong kebebasan laluan perairan antarabangsa, sambil mengambil kira sensitiviti semua pihak termasuk Iran serta kebimbangan terhadap tindakan Israel dan Amerika Syarikat.

“Pendekatan Malaysia kekal bebas dan adil dalam menangani isu ini,” tegas beliau.

BBerkaitan

Latest articles