Pemandu Bas, Kekasih Diriba Dalam Bas Direman 4 Hari

JASIN: Tindakan berbahaya seorang pemandu bas ekspres yang tular kerana meriba kekasihnya ketika memandu akhirnya membawa padah apabila dia bersama wanita berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin terhadap lelaki berusia 36 tahun dan pasangannya, 21 tahun, bagi membantu siasatan polis.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Sebelum ini, pasangan terbabit ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin sekitar jam 4.30 petang semalam.

Mereka tiba bersama menaiki sebuah Proton Persona untuk memberi keterangan berhubung insiden berkenaan.

Kejadian yang berlaku pada 12 April lalu mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman video berdurasi lapan saat tersebar di media sosial sehari kemudian.

Video itu dirakam oleh salah seorang penumpang bas terbabit.

Difahamkan, ketika insiden berlaku, bas ekspres tersebut sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Larkin, Johor Bahru dengan membawa kira-kira 20 penumpang.

Aksi berbahaya itu dipercayai berlaku di kawasan susur masuk hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan sekitar jam 7.30 malam, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain.

BBerkaitan

Latest articles