Putrajaya: Kerajaan merancang melaksanakan sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak berusia bawah 16 tahun seawal hujung Jun ini sebagai usaha memperkukuh keselamatan dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan itu masih tertakluk kepada penelitian akhir selepas beberapa mekanisme dikenal pasti melalui kerjasama dengan penyedia platform digital.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang menjalankan “regulatory sandbox” atau medan uji bersama syarikat media sosial bagi menilai kaedah terbaik mengawal akses golongan bawah umur.
“Selain memahami mekanisme sedia ada oleh platform, kita juga mahu memastikan pendekatan yang digunakan bukan sekadar ‘age assurance’, tetapi lebih kepada ‘age verification’ yang lebih tepat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya.
Beliau menjelaskan, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri dari sudut perundangan melalui penggunaan MyKad sebagai dokumen rasmi bagi mengesahkan identiti dan umur pengguna, berbanding pendekatan negara lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan pihak MCMC telah mengadakan perbincangan lanjut dengan beberapa platform media sosial di Singapura baru-baru ini, dan hasilnya akan dibentangkan dalam masa terdekat.
“Keputusan akhir dijangka dibuat dalam tempoh seminggu, dan jika semuanya berjalan lancar, pelaksanaan boleh dimulakan sekitar Jun atau Julai,” ujarnya.
Tambah beliau, beberapa platform utama turut menunjukkan kesediaan untuk mematuhi cadangan sekatan tersebut, sekali gus mempercepatkan proses pelaksanaannya.
Langkah Malaysia ini selari dengan trend global yang semakin memberi perhatian terhadap keselamatan kanak-kanak di alam maya.
Sebagai contoh, Australia sebelum ini telah meluluskan undang-undang melarang pengguna bawah 16 tahun mengakses media sosial, yang berkuat kuasa Disember lalu susulan kebimbangan terhadap kesan negatif platform tersebut.
Terdahulu, Fahmi turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang memperhalusi kaedah sekatan ini melalui ujian bersama penyedia platform, khususnya melibatkan pendaftaran akaun baharu bagi memastikan had umur dapat dikuatkuasakan secara berkesan.










