Ewon Letak Jawatan Dari Menteri Persekutuan

KOTA KINABALU, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick memaklumkan beliau akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyatakan keputusan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan.

Keputusan itu diambil susulan pendirian Ewon berhubung pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Sabah, seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, serta merujuk kepada penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu yang memihak kepada Semakan Kehakiman difailkan Sabah Law Society (SLS).

Ewon berkata, pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) seperti yang direkodkan dalam penghakiman tersebut jelas bercanggah dengan asas sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia melalui MA63 serta dokumen perlembagaan lain termasuk Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC dan Akta Malaysia.

“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, beliau tidak bersetuju dengan langkah AGC yang mempertikaikan hak tuntutan Sabah, serta menegaskan pendirian bahawa kerajaan seharusnya memulakan rundingan pelaksanaan, bukan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah.

Ewon turut mengulangi bahawa perjuangan menuntut pelaksanaan penuh MA63 dan hak Sabah merupakan matlamat teras UPKO serta prinsip peribadinya sejak menyertai politik.

“Saya berpegang kepada prinsip ini, sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Parti UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah,” katanya.

Beliau turut mengesahkan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO akan diadakan pada Isnin depan bagi membincangkan agenda halatuju parti berlandaskan pendekatan “Sabah First”.

Ewon merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas ruang kerjasama dalam Kabinet selama ini, yang katanya menjadi platform untuk memperjuangkan kepentingan Sabah.

Kenyataan itu sekali gus menjadikan Ewon ahli Kabinet Persekutuan pertama dari Sabah yang mengumumkan hasrat berundur susulan penghakiman bersejarah mengenai tuntutan 40 peratus itu.

BBerkaitan

Latest articles