BUKIT MERAH, – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini turun padang menyertai Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan Empangan Bukit Merah, Perak yang kini berada pada paras kritikal susulan cuaca panas melampau dan ketiadaan hujan.
Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, paras air di empangan berkenaan dilaporkan berada pada tahap hanya 12.21 peratus atau 19.80 kaki, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan air domestik dan pengairan sawah padi di kawasan sekitarnya.
Langkah segera dilaksanakan Kerajaan melalui kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan, memulihkan bekalan air serta mengawal risiko jerebu dan kesihatan awam.
“Operasi ini menggunakan pesawat TUDM jenis Charlie C-130 yang membawa 6,000 liter bahan kimia untuk disembur ke awan kumulus. Hujan berjaya turun dalam tempoh 45 minit selepas operasi, sekali gus membuktikan keberkesanan kaedah saintifik yang digunakan,” menurut kenyataan itu.
Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa suhu panas ekstrem kini direkodkan di enam lokasi utama iaitu Bandar Baharu, Selama, Temerloh, Limbang, Tenom dan Pitas, dan kawasan-kawasan lain yang turut berisiko sedang dipantau bagi intervensi seterusnya.
Beliau turut mengarahkan kesiapsiagaan menyeluruh bagi mencegah kebakaran hutan dan kawasan tanah gambut, termasuk memastikan lebih 3,300 telaga tiub (tube wells) sedia diaktifkan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Dalam masa sama, beliau menekankan aspek keselamatan pelajar dan telah mengarahkan pejabat-pejabat daerah menyemak serta menjadualkan semula aktiviti luar kelas di kawasan yang mencatat suhu tinggi.
“Kerajaan sentiasa komited menangani kesan perubahan iklim dan memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.