RMK13 Fokus Ekonomi Digital, TVET dan Agenda Bumiputera – TPM Zahid

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai hadir tepat pada masanya, ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi global dan gangguan rantaian bekalan yang menjejaskan daya saing serta kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, RMK13 memberikan fokus strategik kepada pertumbuhan ekonomi mampan melalui pendekatan berteraskan penciptaan nilai, pendigitalan serta teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI).

“Saya amat tertarik dengan kebijakan kedua dalam RMK13 yang memberi penekanan kepada pemacuan ekonomi melalui industri berimpak tinggi, atau high growth, high value, dalam sektor strategik. Pendekatan ini bukan sahaja memastikan pertumbuhan yang mampan, tetapi juga inklusif dan saksama,” katanya kepada media selepas pembentangan RMK13 di Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan terhadap perhatian yang diberikan kepada sektor pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), khususnya usaha penyelarasan gaji minimum melebihi prasyarat sedia ada bagi graduan TVET.

“Langkah memperkenalkan gaji premium berasaskan keterampilan dan kemahiran akan mengubah paradigma tenaga kerja negara daripada bergantung kepada buruh tidak mahir kepada buruh berkemahiran tinggi. Ini memberi nilai tambah kepada ekosistem pendidikan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam pasaran pekerjaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 132 inisiatif yang digariskan dalam resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Putra 35 telah diterapkan ke dalam RMK13, menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi Bumiputera secara menyeluruh.

“Ini satu pencapaian penting yang menunjukkan suara dan aspirasi ekonomi Bumiputera tidak diketepikan, bahkan diberi keutamaan dalam perancangan lima tahun akan datang. Agenda ini bukan sahaja menyasar kepada pembangunan usahawan dan pemilikan ekuiti, tetapi juga memperkukuh rantaian nilai Bumiputera dalam sektor strategik,” jelasnya.

Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif Putra 35 dalam RMK13 akan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat Bumiputera di luar bandar, pinggir bandar dan bandar, termasuk komuniti di Sabah dan Sarawak.

Ahmad Zahid juga memberi penekanan terhadap keperluan perancangan jangka panjang dalam pengurusan bencana negara yang kini turut berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.

“Langkah ini penting untuk menyediakan mitigasi yang lebih holistik terhadap bencana alam yang selama ini ditangani secara ad hoc. Perancangan strategik ini amat saya alu-alukan,” katanya.

RMK13 dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini, sebagai pelan pembangunan lima tahun negara yang baharu bagi tempoh 2026 hingga 2030. Pelan ini memberi tumpuan kepada transformasi ekonomi, kelestarian alam sekitar, keterangkuman sosial dan pengukuhan tadbir urus.

BBerkaitan

Latest articles