KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan hadir sekali lagi ke ibu pejabat bagi menyambung keterangannya.
Menurut Azam bekas Perdana Menteri ke-9 itu akan hadir pada pukul 9 pagi.
“Ya, esok (hari ini) jam 9 pagi,” katanya secara ringkas.
Semalam, Ahli Parlimen Bera itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan pada pukul 9.45 pagi sebelum meninggalkan bangunan itu selepas lebih lima jam memberi keterangan pada 3.13 petang.
Keterangan Ismail Sabri diambil selepas SPRM merekodkan keterangan 36 saksi bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Sebelum ini Azam juga memaklumkan seramai 23 lagi saksi baharu dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
Dalam pada itu SPRM menolak dakwaan Ismail Sabri akan ditahan selepas tampil memberi keterangan sejak semalam.
“Masih ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan beliau kepada pasukan penyiasat SPRM yang sedang meneliti hasil siasatan mereka.
“Kami menugaskan ramai petugas untuk menyiasat kes ini kerana terdapat ratusan dokumen yang perlu dianalisis,” ujarnya.