SEREMBAN: Barisan EXCO Negeri Sembilan yang baharu dilantik diingatkan supaya tidak mengulangi tindakan melampaui bidang kuasa masing-masing sehingga mencetuskan kemelut yang menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertitah segala peristiwa dan kontroversi yang berlaku sebelum ini perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak, khususnya anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Baginda menegaskan setiap anggota EXCO perlu memahami batas tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan dan tidak bertindak di luar bidang kuasa ditetapkan.
“Kamu hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.
“Tumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio yang diamanahkan dan laksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan.
“Beta tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah EXCO Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Tuanku Muhriz turut menegaskan pelantikan sebagai EXCO bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab terhadap negeri dan rakyat.
Sehubungan itu, baginda mahu semua anggota EXCO mengutamakan kepentingan rakyat, selain melaksanakan tugas berteraskan integriti dan profesionalisme.
Baginda turut menekankan setiap keputusan yang dibuat perlu berpaksikan kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat, bukan kepentingan peribadi atau pihak tertentu.
Istiadat berkenaan berlangsung selepas Negeri Sembilan berdepan kekosongan barisan EXCO selama lebih dua bulan susulan keputusan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 anggota EXCO pada 20 September lalu.
Pembatalan itu dibuat selepas barisan EXCO terbabit didakwa melanggar ikrar taat setia kepada baginda apabila mengeluarkan kenyataan mengesahkan dakwaan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar, yang turut disokong Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara menegaskan pengumuman berhubung penyingkiran Yang Dipertuan Besar itu tidak mempunyai kesan undang-undang kerana Menteri Besar dan EXCO tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan baginda.
Pada 14 November lalu, Ismail mengesahkan menarik balik surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz.
Empat hari kemudian, kesemua 10 bekas EXCO terbabit turut menarik balik saman bagi mencabar keputusan pembatalan pelantikan mereka.
Pada 20 November, pihak istana memaklumkan Menteri Besar perlu membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), selain mengemukakan senarai calon EXCO untuk pertimbangan Tuanku Muhriz.










