UMNO Tegas Tidak Kaitan Dengan Penemuan Wang Tunai, Jongkong Emas Yang Disita

KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan bahawa ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta serta jongkong emas di kediaman individu yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.

“UMNO tidak pernah terlibat dengan wang dan jongkong emas yang telah disita oleh SPRM. Tiada sebarang kaitan dengan dana politik atau kutipan yang dibuat oleh UMNO.

“Kita serahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan lanjut, termasuk tindakan perundangan jika perlu. Itu terserah kepada SPRM dan Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam sidang media, semalam.

Terdahulu Ahmad Zahid mengulas mengenai laporan penemuan sejumlah besar wang tunai dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta di sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan ‘safe house’ oleh pembantu kepada bekas Perdana Menteri berkenaan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, turut menyatakan bahawa UMNO tidak mempunyai kaitan dengan penemuan tersebut.

Mengulas sama ada isu ini akan menjejaskan imej UMNO, Ahmad Zahid menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai kes individu.

“UMNO tidak terjejas kerana ini bukan isu dalam kalangan kepimpinan atau ahli UMNO. Kami anggap ia sebagai kes peribadi yang tiada kaitan rasmi dengan parti,” katanya.

Pada 2 Mac lalu, SPRM mengesahkan telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dan jongkong emas hasil pemeriksaan di beberapa lokasi berkaitan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut memaklumkan bahawa siasatan telah dibuka sejak awal tahun lalu berhubung isu Keluarga Malaysia, khususnya melibatkan dana pengiklanan dan promosi agenda kerajaan bernilai RM700 juta.

Tindakan SPRM termasuk penggeledahan di kediaman serta tiga premis lain dilakukan susulan penahanan empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri itu.

BBerkaitan

Latest articles