KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk menyiasat pihak yang bertindak menyunting video asal membabitkan tiga penyampai radio Era FM yang kononnya dikaitkan menghina agama Hindu.
Peguam Mahmud Jumaat membangkitkan video yang disunting dengan durasi 5 saat yang disifatkan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab, sekaligus menghasut orang ramai terutama kaum India sehingga wujudnya salah faham dalam kalangan masyarakat.
Mahkud memaklumkan beliau sendiri telah berjumpa dengan Azad Jasmin dan diberikan penjelasan hal sebenar yang berlaku dalam konti radio ERA.
“Pertama apa yang disangkakan sebelum ini benar-benar berlaku.
“Sila rujuk kembali kepada klip yang dimainkan oleh RSN Rayer di Parlimen dan majoriti komentar pempengaruh India di tiktok. Sekiranya kita teliti, video tersebut telah disunting hanya setakat 5 saat ketika disebut wei-wei sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Jelas Mahmud lagi, video berdurasi lima saat itu jelas menunjukkan ada pihak yang menjadi batu api dengan sengaja hanya menyunting bahagian yang menyebut seolah-olah wei-wei sahaja.
Peguam itu turut mengajukan persoalan sama ada Rayer telah melihat video asal, dan mengapa hanya bahagian klip itu sahaja dimainkan berulang kali di parlimen.
Katanya, tindakan netizen prihatin mengeluarkan klip video penuh untuk meredakan kemarahan dan salah faham antara pihak-pihak.
Mahmud turut merujuk tarian Azad Jasmin yang serupa dengan tarian entrance Miki Ghazali dan pada masa yang sama penyampai radio tu juga telah ‘tag’ Miki Ghazali bagi klip tersebut.
“Sekiranya kita rujuk tarian pemain bola West Ham United memang bunyi sebutan wei wei (serupa dengan klip video kita) kedengaran ketika menari paqueta.
“Saya percaya sekiranya ambil video itu secara penuh daripada awal, mereka akan kantoi yang tarian dibuat oleh Pak Azad semata-mata untuk meniru tarian Miki sebab ada latar belakang lagu Paqueta yang jelas kedengaran.
“Pada dapatan saya terdapat salah faham yang jelas dalam kes ini dan ada pihak cuba menganiaya, mengkhianati dan memfitnah ketiga-tiga DJ ini.
“Saya ingin tegaskan disini bahawa tujuan saya menerangkan secara detail tentang kes ini adalah untuk meredakan ketegangan yang berlaku antara kita semua sebagai satu keluarga di Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahmud berkata, beliau menjadi sangat marah apabila mengetahui adanya komplot dan agenda jahat sesetengah pihak cuba untuk menjadikan ini sebagai isu perkauman.
Beliau harap penjelasan ini dapat membuktikan bahawa kita semua ditipu dan diperdaya oleh agenda jahat yang cuba memecahbelahkan kita sebagai satu keluarga yang harmoni!
“Saya sarankan kepada PDRM daripada siasat 3 DJ radio ini, sebaiknya PDRM siasat siapakah dalang yang menyunting video dan menghasut orang ramai terutamanya kaum india sehingga wujudnya salah faham antara kita semua,” katanya.
Rabu lalu, tiga penyampai radio ERA FM iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak susulan penyiaran kandungan video menyinggung sensitiviti masyarakat, khususnya penganut Hindu.
Mengakui kesilapan, ketiga-tiga penyampai radio berkenaan terpaksa digantung tugas sehingga siasatan selesai.