KUALA LUMPUR: Ura-ura wujudnya dua kem di dalam Bersatu pada ketika ini dicantas oleh Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Merujuk kepada keputusan pemilihan Bersatu tahun lalu, Tun Faisal menegaskan ia jelas menunjukkan proses peralihan kuasa dalam parti berlaku dengan sempurna sama seperti formula yang dicadangkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah lebih penting apabila Muhyiddin sebulat suara diterima dan disokong seluruh ahli Bersatu untuk kekal menerajui parti itu meskipun sebelum ini pernah berhasrat untuk berundur daripada jawatannya.
“Jika benar dakwaan kononnya ahli-ahli Bersatu hilang keyakinan terhadap kepimpinan Muhyiddin, pastinya perwakilan Bersatu tidak akan menolak permohonan beliau untuk melepaskan jawatannya seperti diumumkan ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada 2023.
“Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya yang menunjukkan ahli akar umbi masih memerlukan kepimpinan Muhyiddin dan formula yang dicadangkan Muhyiddin juga telah diterima pakai dan menunjukkan hasil pada pemilihan Bersatu tahun lalu,” katanya memetik MalaysiaGazette hari ini.
Baru-baru ini khabar angin bertiup mendakwa Bersatu kini berpecah kepada dua kumpulan; satu yang diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan kedua, yang dipimpin Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sumber parti itu mendakwa titik perpecahan tersebut bermula pada Julai tahun lalu, apabila Muhyiddin menggariskan pelan peralihan kuasa yang menyaksikan Hamzah menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan November lalu.
Bagaimanapun hal berbeza di kem Azmin yang bertegas supaya Muhyiddin perlu kekal menerajui Bersatu, manakala satu lagi kem mahu Hamzah mengambil alih kepimpinan.
Mengulas hal itu Tun Faisal mempersoalkan laporan portal berita terbabit yang disifatkan tidak telus apabila enggan menamakan sumber dalamannya.
“Siapa dua orang sumber dalaman yang dikatakan menjadi sumber kepada berita yang ditulis itu? Pelik kenapa laporan itu tidak berani menyebut sumber mereka,” katanya.
Dalam pada itu, tegas beliau, pemilihan Bersatu yang berakhir pada November tahun lalu juga dengan jelas memuktamadkan bahawa tidak boleh wujud dua `imam’ atau pemimpin dalam parti tersebut.
“Tidak ada pertikaian lagi berkenaan siapa yang seharusnya menerajui Bersatu selepas pemilihan tahun lalu, sebaliknya fokus Bersatu ketika ini adalah untuk membuat persediaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.