KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Pendakwah Bebas, Zamri Vinoth masing-masing bersetuju untuk mengadakan debat mengenai agama Hindu.
Zamri menerima cabaran Saravanan untuk berdebat berikutan kemarahan orang ramai terhadap kenyataannya mengenai upacara kavadi.
Menerusi hantaran Facebook malam tadi, Zamri memaklumkan dia bersedia menyahut cabaran Saravanan untuk berdebat dalam bahasa Tamil.
“Siapa sedia nak anjurkan debat tersebut? Tempat dimana? Apa Tajuknya?,” katanya.
Saravanan berkata perdebatan akan tertumpu kepada dakwaan Zamri bahawa penganut Hindu yang melakukan upacara kelihatan seperti ‘orang kena rasuk sambil mabuk todi’.
Beliau mencadangkan debat itu diadakan pada 23 Mac dengan Dewan Bahasa Tamil Malaysia sebagai penganjur.
Saravanan turut memberikan kebebasan kepada Zamri untuk memilih mana-mana tempat di ibu negara sebagai lokasi debat.
“Saya tunggu pengesahan anda. Pada masa yang sama, adalah ‘pelik’ anda menerima cabaran debat tetapi menutup komen pada Facebook anda,” tambah Saravanan dalam catatan Facebooknya.
Cabaran untuk berdebat timbul selepas kritikan tercetus terhadap kenyataan Zamri mengenai upacara kavadi, dengan Saravanan menggesa penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).
Saravanan turut mengecam Zamri kerana mengutuk upacara kavadi yang diamalkan penganut Hindu selain menyifatkan kenyataan itu ‘sangat biadap’ dan menyinggung perasaan masyarakat Hindu.
Kenyataan terbarunya dibuat di tengah-tengah kemarahan orang ramai terhadap tiga penyampai radio Era FM yang dikecam secara meluas kerana mempersendakan amalan Hindu yang sama.