KUALA LUMPUR: ASEAN berpotensi menjadi “kuasa pertengahan” dalam memainkan peranan sebagai pengimbang dan mediator dalam menangani ketegangan antara kuasa-kuasa besar, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata, peralihan sistem dunia daripada unipolar, yang didominasi satu kuasa besar, kepada multipolar membuka ruang bagi ASEAN untuk menyuarakan seruan penyelesaian diplomatik dalam menangani pertikaian antarabangsa.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini boleh memainkan peranan penting dalam menyelaraskan hal-hal berkaitan pertikaian antarabangsa, termasuk isu krisis di Myanmar yang kita harapkan dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi moderator dalam BN Forum: Impak Pemilihan Trump dan Dasar-Dasarnya ke atas Dunia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini.
Zambry, yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, menekankan kepentingan rakyat memahami isu-isu global dan impaknya terhadap negara, memandangkan dunia kini bergerak ke arah kehidupan yang semakin kompleks dan dinamik.
Beliau menjelaskan bahawa forum yang dianjurkan dalam beberapa siri ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perkembangan antarabangsa dan bagaimana ia boleh mempengaruhi Malaysia.
“Dunia tidak lagi statik, perubahan dalam dasar luar negara lain boleh memberi kesan kepada ekonomi, keselamatan, dan kestabilan serantau. Oleh itu, kesedaran terhadap isu global amat penting bagi rakyat,” tambahnya.