KUALA LUMPUR: Tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada pensyarah wanita Universiti Malaya (UM) yang sedang ditahan kerja untuk kembali ke kampus.
“Tiada arahan dikeluarkan kepada pensyarah berkenaan untuk hadir di kampus oleh pihak fakulti atau jabatan berkaitan,” kata UM dalam kenyataan.
Malah institut pengajian tinggi awal itu juga memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang bukti atau wujudnya saksi untuk mengesahkan perkara itu.
Selain itu, pihak UM juga telah menghubungi pensyarah terbabit untuk memastikan beliau tidak hadir ke kampus sepanjang tempoh tahan kerja.
“Kami sentiasa memastikan keselamatan semua pihak dalam kampus, terutamanya pelajar,” ujarnya.
Kenyataan UM itu merujuk kepada dakwaan seorang mangsa pensyarah berkenaan kononnya wanita itu dilihat masih hadir di kampus selepas ditahan kerja pada 23 Dis lalu.
Pada 23 Dis lalu, UM mengesahkan pensyarah dikaitkan dengan isu penghantaran mesej jelik seksual itu ditahan kerja mengikut Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.
Kementerian Pendidikan Tinggi dilaporkan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas perkara itu, dan memandang serius sebarang salah laku membabitkan kakitangan di institusi pengajian tinggi.