KUALA LUMPUR, – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Kadir, menafikan sebarang dakwaan mengenai usaha untuk menggugat perpaduan dalam kalangan ahli Parlimen parti itu.
Menurut beliau, sebagai Setiausaha Agung BN, segala perkembangan politik semasa sudah dalam pengetahuannya, dan beliau menegaskan bahawa sebarang spekulasi yang timbul hanyalah permainan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan tersendiri
“Saya menegaskan bahawa tidak ada perkara seperti yang didakwa. Jika ada sesuatu yang berlaku, tentunya saya sudah mengetahuinya. Oleh itu, jangan kita terpengaruh dengan permainan pihak tertentu yang cuba merosakkan perpaduan dan ketahanan dalam kalangan ahli Parlimen BN,” katanya ketika ditemui di Program Karisma Pemikir Madani Siri Lima, Di Enstek Negeri Sembilan petang ini.
Beliau turut menekankan bahawa hubungan dalam BN ketika ini berada dalam keadaan baik dan mantap, dengan semua ahli Parlimen terus bekerjasama dalam kerajaan sedia ada.
Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai simulasi keselamatan yang dijalankan di Politeknik ungku Omar (PUO), Jelas Zambry simulasi tersebut hanyalah sebahagian daripada latihan persediaan yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak hospital bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan.
“Saya telah menerima laporan mengenai latihan ini, dan dimaklumkan bahawa ia merupakan sebahagian daripada persiapan keselamatan. Bagaimanapun, saya mengambil maklum bahawa terdapat seorang pelajar yang mengalami kecederaan terseliuh, dan saya berharap keadaannya segera pulih,” katanya
Dalam sidang media yang sama, Datuk Seri Diraja Zambry Kadir turut menyentuh mengenai program kepimpinan KARISMA, yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi membangunkan bakat dan kepimpinan dalam kalangan pelajar, pentadbir, serta pensyarah universiti.
Menurut beliau, program ini memberi peluang kepada pemimpin universiti untuk berinteraksi dengan tokoh-tokoh korporat serta pakar dalam pelbagai bidang bagi meningkatkan daya saing dan kompetensi mereka.
“Sebagai contoh, kita telah mengadakan sesi bersama Tan Sri Wahid Omar dan Tan Sri Azman Mokhtar, tokoh-tokoh besar dalam dunia korporat yang juga merupakan pengerusi lembaga universiti. Mereka berkongsi pandangan serta pengalaman mengenai strategi pengurusan dan pembangunan universiti yang lebih mampan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa KARISMA bukan hanya melibatkan pelajar, tetapi juga kepimpinan tertinggi universiti, termasuk pentadbir dan pensyarah.