KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO disaran berhenti berselindung di sebalik Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk mendesak pengampunan penuh terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya berani menyuarakan perkara itu secara terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, UMNO kini sebahagian daripada kerajaan dan memiliki kekuatan politik yang besar termasuk tujuh menteri serta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Dengan kedudukan itu, katanya, UMNO sepatutnya mampu membawa tuntutan pengampunan penuh Najib terus kepada Anwar, bukan sekadar melaungkannya dalam perhimpunan parti.
“Tetapi kamu tidak berani berdepan Anwar. Mungkin sebenarnya kamu semua gembira melihat Najib terus di penjara. Berlaku jujurlah kepada ahli-ahli kamu. Berapa banyak lagi PAU perlu diadakan dan berapa banyak resolusi perlu diluluskan? Untuk apa semua itu?” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Mohd Zaid yang juga ahli UMNO Cawangan Bukit Damansara mendakwa, ahli-ahli parti sebenarnya sedang diperalatkan melalui ‘drama’ meluluskan resolusi dan deklamasi sajak berkaitan nasib Najib, yang disifatkannya sebagai sandiwara politik semata-mata.
Menurutnya, Najib tidak akan dibebaskan selagi Anwar menjadi Perdana Menteri, justeru UMNO perlu berhenti membuang masa dengan isu yang tidak membawa hasil.
“Bincangkan perkara yang lebih penting untuk masa depan parti. Kalau tidak, orang ramai akan terus hilang rasa hormat kepada parti Melayu ini,” katanya lagi.
Kenyataan itu dibuat ketika isu pengampunan Najib kembali hangat menjelang PAU 2025 minggu depan.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan sebanyak 104 bahagian seluruh negara menghantar usul berkaitan pengampunan penuh terhadap Najib, menjadikannya antara usul tertinggi daripada keseluruhan 662 usul yang diterima Ibu Pejabat UMNO.










