Zahid tolak sentimen ‘Sabah for Sabahan’

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sentimen ‘Sabah for Sabahan’ yang diketengahkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai tidak produktif dan berisiko memecahbelahkan perpaduan nasional.

Menurut beliau, Sabah merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan hubungan erat dengan kerajaan Persekutuan adalah penting bagi menjamin pembangunan berterusan di negeri itu.

“Kita mahu kerjasama antara parti di peringkat Persekutuan dan negeri supaya tiada lagi sentimen ‘Sabah for Sabahan’. Lagipun, kita semua rakyat Malaysia,” katanya

Kenyataan Zahid hadir selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Jumaat lalu tidak menolak kemungkinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding secara solo dalam PRN akan datang. Hajiji menegaskan parti-parti tempatan perlu menjadi tunjang kepada kerajaan negeri kerana lebih memahami budaya, realiti dan keperluan rakyat Sabah.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata kerjasama politik menjelang PRN Sabah perlu melibatkan GRS bersama Pakatan Harapan (PH) dan BN bagi memastikan kestabilan dan pembangunan negeri.

Anwar turut menyatakan rundingan kerjasama pilihan raya di Sabah diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan negeri, khususnya Ketua Menteri, sebagai langkah menghormati aspirasi tempatan

BBerkaitan

Latest articles