Zahid Jamin Tiada Agenda Perkauman Dibawa Hannah Yeoh Di Kementerian Baru

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi jaminan bahawa pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) tidak akan melebarkan jurang perkauman, sebaliknya berteraskan kepentingan nasional dan keterangkuman semua kaum.

Beliau berkata, sepanjang Hannah menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), tiada agenda berasaskan kaum diperkenalkan, khususnya dalam pelaksanaan dasar dan pembangunan sukan.

Pengalaman peribadinya mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan juga, katanya, membuktikan prestasi KBS di bawah kepimpinan Hannah tidak bersifat ‘petak-petak’ perkauman.

“Jangan dilihat latar belakang etnik menteri atau timbalan menteri. Prestasi dan pendekatan kerja lebih penting. Tiada agenda kaum diperkenalkan di KBS ketika beliau memimpinnya,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mengulas kebimbangan sesetengah pihak terhadap komposisi kepimpinan Wilayah Persekutuan, Ahmad Zahid menegaskan timbalan menteri yang dilantik walaupun berketurunan Cina mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan pertimbangan agenda nasional tidak akan diketepikan.

Tambahnya, Datuk Bandar Kuala Lumpur serta Bahagian Hal Ehwal Wilayah Persekutuan diterajui pemimpin Melayu, selain setiap keputusan utama dibawa ke Kabinet.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyempurnakan Majlis Konvokesyen ketiga Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan Perdana Menteri dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri akan memantau pelaksanaan agenda nasional, termasuk di Wilayah Persekutuan.

Katanya, Kabinet akan membuat pertimbangan secara holistik, memastikan kepentingan semua pihak terpelihara tanpa mengira latar parti atau bangsa, selari dengan prinsip keterangkuman Kerajaan MADANI.

BBerkaitan

Latest articles