KUALA LUMPUR – YTL Power menyatakan komitmennya untuk membangunkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) lengkap di Malaysia, termasuk infrastruktur AI dan model bahasa luas (LLM) tempatan, dengan pelancaran dijangka dibuat sempena ASEAN AI Summit 2025.
Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong, berkata syarikat itu telah terlibat dalam sektor AI sejak beberapa tahun lalu, dengan memberi tumpuan kepada dua komponen utama iaitu sektor infrastruktur serta sektor AI Cloud dan penyelesaian LLM.
“Malaysia kini mempunyai keupayaan bekerjasama dengan NVIDIA, pembangun cipset GPU terkemuka GP200, yang mampu menyokong pelbagai penyelesaian AI. Dalam masa sama, kami juga membangunkan LLM Malaysia yang dipanggil Ilmu katanya ketika ditemui di sesi taklimat media mengenai Asean Ai Summit di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, LLM merupakan teras kepada pembangunan aplikasi AI, justeru sokongan kerajaan dan kementerian amat penting bagi memastikan Malaysia mempunyai ekosistem AI yang menyeluruh.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana memperkukuh keyakinan kami untuk melabur dalam pembangunan LLM Malaysia. Dengan infrastruktur dan LLM yang mantap, Malaysia akan mampu membina ekosistem AI yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global,” tambahnya.
ASEAN AI Summit 2025 akan berlangsung pada 12 dan 13 Ogos ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).