KUALA LUMPUR, YTL Cement, dengan kerjasama YTL Hotels dan Balai Seni Negara, berjaya menutup tirai Projek Penyu Shell-Ter yang mengumpul serta menyumbang keseluruhan RM1.255 juta bagi tujuan pemuliharaan penyu dan pelbagai inisiatif kebajikan komuniti di seluruh negara.
Inisiatif seni untuk pemuliharaan itu dilancarkan sempena ulang tahun ke-70 YTL Group, menghimpunkan 51 artis dan tokoh awam Malaysia yang mentafsir semula 70 arca penyu dihasilkan menggunakan ECOCem®, simen rendah karbon keluaran YTL Cement.
Arca-arca berkenaan dipamerkan di beberapa hotel YTL sebelum ditawarkan melalui lelongan dalam talian peringkat nasional, yang memuncak dengan lelongan fizikal serta majlis makan malam gala.
Projek berkenaan berjaya mengumpul RM1 juta untuk Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS) dan PULIHARA, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam perlindungan spesies penyu laut dan air tawar terancam, termasuk operasi pusat penetasan, perlindungan habitat, usaha pemuliharaan berasaskan komuniti serta pendidikan awam.
Daripada keseluruhan koleksi, 20 arca penyu dilelong secara langsung pada malam kemuncak dalam sesi yang dikendalikan oleh pelelong terkenal Ian McGinlay. Antara detik tumpuan ialah karya Vanishing Patterns oleh Datuk Zainal Abidin, yang terjual pada harga RM50,000 selepas persaingan sengit pembida, disusuli persembahan mengejut lagu Hijau oleh artis berkenaan.
Pengarah Eksekutif YTL Cement Rachel Yeoh berkata projek itu membuktikan hubungan erat antara kreativiti dan impak sosial.
“Projek Penyu Shell-Ter digerakkan oleh hubungan penting antara kreativiti dan impak. Ia adalah usaha penuh harapan yang membuktikan kuasa seni sebagai pemangkin perubahan serta penyatu insan, tempat dan perkongsian yang menjayakan kerja-kerja pemuliharaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bagi memperluaskan lagi manfaat projek, YTL Cement turut menyumbang RM5,000 bagi pihak setiap 51 artis yang terlibat, menjadikan jumlah RM255,000 kepada 10 NGO pilihan artis berkenaan, meliputi bidang keselamatan makanan, pemerkasaan belia, kesihatan mental, pemuliharaan alam sekitar, penjagaan paliatif dan kesejahteraan komuniti.
Antara NGO terbabit ialah Dignity for Children Foundation, Global Environment Centre, Hara Makers, Hospis Malaysia, Malaysian Mental Health Association, OrphanCare Foundation, The Lost Food Project, Nurjiwa Foundation, Galeri Kita dan Nicol David Organisation.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif TCS Dr Chen Pelf Nyok berkata pihaknya berbesar hati menjadi antara penerima utama manfaat projek berkenaan.
“Pemuliharaan penyu bukan sekadar usaha saintifik, sebaliknya satu tanggungjawab bersama. Kami berterima kasih kepada YTL Cement, YTL Hotels dan semua artis yang terlibat kerana membantu membawa kerja kami kepada khalayak lebih luas serta membina kesedaran dan hubungan emosi secara serentak,” katanya.
Projek Penyu Shell-Ter mendapat pengiktirafan Balai Seni Negara Malaysia dan dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-70 YTL Group. Ia merupakan sebahagian daripada BUILDS, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) YTL Cement yang memfokuskan pelaburan dalam komuniti, bakat kreatif dan kelestarian alam sekitar.
Maklumat lanjut serta senarai penuh artis dan arca penyu boleh didapati di https://penyushellter.ytlcement.com/penyu.










