KLUANG: Detik yang sepatutnya menjadi permulaan hari, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang wanita parah selepas dipercayai disimbah petrol dan dibakar oleh teman lelakinya berhampiran Plaza Tol Simpang Renggam, kelmarin.
Lebih mengejutkan, lelaki berusia 44 tahun itu turut membakar dirinya sendiri, menyebabkan kedua-duanya melecur teruk dan kini terpaksa ditidurkan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom bagi rawatan lanjut.
Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Nor, berkata kejadian berlaku sekitar jam 5.46 pagi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran sebuah kereta di lokasi berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek menarik mangsa, seorang wanita berusia 37 tahun, keluar daripada sebuah bas pekerja sebelum menyimbah petrol ke badan mangsa dan dirinya sendiri. Dia kemudian menyalakan pemetik api,” katanya dalam kenyataan.
Seorang lelaki tempatan yang cuba menyelamatkan mangsa turut cedera akibat melecur pada tangan dan kaki, sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.