KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga asing ditahan polis kerana disyaki memandu dalam keadaan cuai sehingga melanggar tiga motosikal, sebelum menyerang orang awam berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bandar Kajang hari ini.
Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 11.58 pagi.
Siasatan awal mendapati wanita berusia 24 tahun itu memandu secara berbahaya sebelum keluar dari kenderaan di kawasan lampu isyarat dan menyerang orang awam dengan sebilah pisau, tambahnya.
“Hasil bantuan daripada orang awam, wanita terbabit ditahan bersama dua bilah pisau sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Bernama.
Naazron berkata, akibat kejadian itu, enam individu berusia 21 hingga 60 tahun cedera, dengan dua daripadanya ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut.
Empat lagi individu menerima rawatan sebagai pesakit luar, tambahnya.
Selain itu, katanya, tiga motosikal turut rosak akibat dilanggar oleh kenderaan dipandu wanita itu.
Naazron berkata, permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah terhadap wanita itu akan dibuat esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang wanita terlibat dalam kemalangan sebelum keluar dari kenderaannya dengan memegang sebilah pisau.
Dalam video tersebut, beberapa penunggang motosikal turut dilihat cedera dan orang ramai cuba menahan wanita terbabit.