Wan Saiful Sahkan Pertemuan Hamzah – Zahid, Isu Penyatuan Melayu Jadi Fokus

KUALA LUMPUR: Pertemuan antara Ketua Pembangkang dan Presiden UMNO akhirnya disahkan, namun ia ditegaskan bukan rundingan jawatan sebaliknya berkisar usaha menyatukan parti-parti Melayu.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mengesahkan bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin ada mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan itu tertumpu kepada agenda lebih besar iaitu penyatuan politik Melayu di pelbagai peringkat.

Menurut Wan Saiful, pendekatan yang diambil adalah berunding dengan mana-mana pihak yang dilihat mampu menyumbang ke arah matlamat tersebut.

“Secara prinsipnya, kita berusaha menyatukan parti besar Melayu. Jadi, kita akan bertemu dengan pihak yang bersesuaian,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak mempunyai maklumat sama ada pertemuan itu turut menyentuh soal rancangan menjadikan Hamzah sebagai timbalan perdana menteri.

Dalam nada tegas, Wan Saiful turut membidas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang didakwa sebelum ini tidak menunjukkan minat terhadap usaha permuafakatan dengan parti-parti besar Melayu.

“Apabila beliau membuat kenyataan menolak usaha itu, jelas beliau tidak berminat menyatukan parti-parti Melayu,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mendedahkan kononnya wujud perancangan oleh Hamzah untuk menjadi timbalan perdana menteri melalui pembentukan gabungan bersama parti lain.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mengesahkan pertemuan Hamzah dan Zahid, yang sebelum ini dikaitkan dengan spekulasi ‘Bangkok Move’.

Mengulas dakwaan tersebut, Wan Saiful mencabar Muhyiddin supaya mengemukakan bukti sekiranya benar wujud perancangan seperti yang didakwa.

“Saya tahu ada usaha untuk meletakkan Muhyiddin sebagai perdana menteri. Kalau jawatan untuk beliau boleh, tetapi bila melibatkan orang lain jadi salah pula?” katanya sinis.

Pada Januari lalu, Zahid sendiri mengesahkan pernah mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS dan Bersatu bagi membincangkan agenda penyatuan orang Melayu menerusi satu bentuk kolaborasi besar.

Malah ketika Perhimpunan Agung UMNO, beliau dilaporkan berkata pertemuan itu turut membabitkan beberapa parti politik Melayu lain.

BBerkaitan

Latest articles