PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara ke-17, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menegaskan komitmennya untuk memelihara kebebasan institusi kehakiman, meskipun tidak menafikan latar belakang politik yang pernah mewarnai kerjayanya sebelum ini.
Dalam ucapan sulung sempena pelantikannya yang diraikan dalam satu majlis di Istana Kehakiman, beliau berkata tidak mampu mengubah sejarah, namun berikrar akan menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh integriti.
“Saya tidak boleh memadam sejarah, politik atau sebaliknya… tetapi selagi saya menduduki kerusi ini, saya berikrar tanpa syarat, atas lafaz Bismillahirrahmanirrahim bahawa saya akan bersungguh-sungguh melindungi dan tanpa henti menjaga kebebasan kehakiman dengan sepenuh hati,” katanya.
Wan Ahmad Farid bukan asing dalam dunia pentadbiran negara. Selain berlatar belakang undang-undang, beliau pernah berkhidmat dalam dua lagi cabang kerajaan iaitu eksekutif dan legislatif termasuk sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri (2003–2008) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri (2008–2009).
Selepas meninggalkan dunia politik, beliau kembali ke bidang guaman dan menjadi peguam bela dan peguam cara di Tetuan Wan Farid & Surin, Kuala Lumpur (2011–2015).
Beliau dilantik menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib awal Julai lalu.
Dalam ucapannya, Wan Ahmad Farid turut menyeru agar semua pihak dalam ekosistem perundangan termasuk para hakim, pegawai kehakiman, Jabatan Peguam Negara, dan komuniti perundangan di Sabah dan Sarawak berganding bahu memastikan badan kehakiman terus bebas, berdaya tahan dan efisien.
“Saya berikrar untuk melakukan yang terbaik dalam menjaga kebebasan kehakiman. Biar mesej ini bergema bukan sahaja di mahkamah, tetapi di seluruh lapisan masyarakat dan penjuru kuasa negara ini,” ujarnya.
Mengakhiri ucapannya, beliau mengingatkan bahawa keadilan hanya mampu ditegakkan jika prinsip pemisahan kuasa dihormati dan kuasa tidak disatukan pada satu institusi.
“Kuasa perlu terbahagi dalam kalangan cabang kerajaan untuk mencegah kezaliman dan memastikan kebebasan rakyat terus dilindungi,” tegasnya.