KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa meskipun tidak semua pimpinan dan ahli akar umbi parti itu berlatarbelakangkan ilmu agama yang mendalam, UMNO tetap berteraskan nilai budaya Melayu dan Islam sejak penubuhannya.
Mengulas usaha Parti Islam SeMalaysia (Pas) untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) serta mengajak UMNO ‘merujuk’, Azalina berkata parti itu mempunyai kebijaksanaan sendiri untuk menentukan hala tuju terbaik pada masa hadapan tanpa terburu-buru membuat sebarang keputusan.
Beliau mengibaratkan hubungan politik itu seperti urusan rumah tangga yang memerlukan tempoh bertenang dan perbincangan sebelum sebarang keputusan besar dibuat.
“Kalau dalam perkahwinan pun ada tempoh idah, takkan hari ini cakap nak berpisah, semalam dah lafaz. Semua kena dibincangkan dengan betul,” katanya ketika sidang media, hari ini.
Menurut Azalina, UMNO yang ditubuhkan sejak 1946 telah melalui pelbagai fasa dan cabaran politik, justeru kepimpinan parti diyakini mampu membuat pertimbangan secara berhikmah melalui saluran musyawarah sedia ada.
“Bermula dengan Biro Politik hingga ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan minggu depan, UMNO sentiasa mengamalkan perbincangan dan muafakat,” katanya.
Tambah beliau, walaupun ahli UMNO tidak semuanya dilihat ‘alim’, budaya Melayu dan nilai Islam kekal menjadi amalan serta pegangan dalam perjuangan parti itu.
Kenyataan Azalina itu hadir susulan gesaan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 28 Disember lalu yang mengajak ahli dan penyokong UMNO menghidupkan kembali semangat MN sebagai asas perpaduan ummah menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sanusi sebelum ini menegaskan kerjasama Pas dan UMNO penting bagi menjamin kestabilan politik negara, khususnya di peringkat akar umbi, sambil menyatakan Pas terbuka menerima sokongan ahli UMNO yang ingin bersama perjuangan parti itu meskipun masih bernaung dalam UMNO.










