KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diarahkan untuk menyemak status tauliah seorang agamawan atau guru yang dikaitkan dengan kes mencederakan seorang remaja lelaki di Kajang baru-baru ini.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata jika individu tersebut merupakan pemegang tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), maka tauliah itu wajar ditarik balik serta-merta.
“Saya menyeru semua agamawan dan guru yang diberikan tauliah di Selangor supaya menjaga kemuliaan agama Islam dan menjauhi sebarang tindakan ganas yang boleh merosakkan imej kesederhanaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap insiden keganasan itu, yang dianggap bercanggah dengan ajaran Islam yang menekankan penyelesaian secara rasional dan berlandaskan undang-undang, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
“Saya mengecam segala bentuk kekerasan, lebih-lebih lagi jika pelakunya membawa imej agamawan atau guru. Mereka sepatutnya menjadi contoh teladan yang baik kepada masyarakat, terutama golongan muda,” tambahnya.
Insiden itu dilaporkan berlaku pada 14 Mac lalu apabila seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mendakwa dipukul oleh seorang lelaki selepas berlaku perselisihan faham ketika kedua-duanya sedang memandu di kawasan Saujana Impian, Kajang.
Akibat kejadian itu, remaja tersebut mengalami retak pada tulang batang hidung dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
Hasil siasatan mendapati remaja itu tidak mempunyai lesen memandu dan telah dikenakan saman trafik, manakala suspek yang berusia 39 tahun ditahan sekitar Kajang pada malam yang sama sebelum direman selama sehari.
Suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.