Victor Chin Fail Saman, Dakwa Pengasas Bestinet Dalang Ambil Alih NexG

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long memfailkan saman terhadap pengasas Bestinet Sdn Bhd, Aminul Islam Abdul Nor, dengan mendakwa individu itu menjadi dalang utama di sebalik cubaan pengambilalihan NexG Bhd.

Tindakan undang-undang itu difailkan menerusi writ saman di Mahkamah Tinggi, yang menamakan Aminul sebagai defendan pertama.

Victor mendakwa Aminul menggunakan pelbagai tekanan termasuk terhadap pihak penguatkuasaan, pembekuan akaun serta ugutan bagi memaksa perubahan kepimpinan syarikat dan mempengaruhi pemegang saham utama.

Menurutnya, usaha tersebut bermula sejurus NexG memperoleh kontrak kerajaan bernilai RM2.46 bilion pada Oktober tahun lalu, yang disifatkannya sebagai titik permulaan gerakan terancang untuk menguasai syarikat berkenaan.

Beliau turut mendakwa Aminul bertindak sebagai “pengarah bayangan” serta terlibat dalam pelantikan individu tertentu ke dalam lembaga pengarah, selain cubaan memindahkan aset intelek dan komponen penting kontrak kepada pihak lain melalui subkontrak.

Bagaimanapun, Victor menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang rangkaian “mafia korporat” dan mendakwa tuduhan terhadapnya hanyalah usaha mengelirukan pihak berkuasa serta menjadikannya kambing hitam.

Dalam pada itu, beliau menafikan penglibatan dalam beberapa kontroversi lalu termasuk melibatkan Revenue Group Bhd, Caely Holdings Bhd dan MJets Air Sdn Bhd.

Katanya, isu berkaitan syarikat-syarikat tersebut mempunyai latar belakang berbeza dan tidak berkait dengan dirinya, sebaliknya melibatkan pertikaian dalaman serta tindakan penguatkuasaan terhadap pihak lain.

BBerkaitan

Latest articles