Kuala Lumpur, Rakyat Malaysia harus mengekalkan keharmonian dan perpaduan dalam menghadapi isu-isu sensitif yang melanda negara ujar Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Sivaraj Chandran
Katanya, keamanan dan kestabilan adalah lebih penting daripada perbalahan yang hanya membawa perpecahan.
“ Malaysia telah sekian lama memilih jalan perpaduan dan kestabilan sejak merdeka, dan tidak seharusnya tergelincir daripada prinsip ini hanya kerana emosi yang tidak terkawal.
“Saya faham, apabila sesuatu perkara menyentuh sensitiviti kita, pasti ada kemarahan dan kekecewaan. Tetapi di saat kita membiarkan emosi menguasai diri, kita lupa perkara yang lebih penting, iaitu masa depan kita bersama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Sivaraj yang turut Merujuk kepada isu hangat yang sedang diperkatakan, beliau menegaskan bahawa pihak yang terlibat telah memohon maaf dan rakyat seharusnya tidak terus menghidupkan api kemarahan.
Beliau mengingatkan bahawa tugas menjatuhkan hukuman bukan terletak di tangan rakyat, sebaliknya perlu diserahkan kepada pihak berkuasa.
Selain itu, beliau turut mengecam tindakan individu tertentu yang berada di luar negara tetapi mengambil kesempatan untuk menghina Islam serta menyalakan api perpecahan di Malaysia. Beliau menegaskan bahawa individu seperti ini tidak layak mendapat tempat di negara ini dan harus dibawa ke muka pengadilan.
“Malaysia ini rumah kita. Jangan sampai kerana kita sibuk bergaduh, rumah ini runtuh. Tidak ada sesiapa yang akan datang menyelamatkan kita jika negara ini hancur kerana perbalahan yang kita cipta sendiri,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, beliau turut menyeru rakyat untuk bersikap matang, berfikiran tenang, dan memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih penting seperti ekonomi, kos sara hidup, dan masa depan generasi akan datang.
“Ketenangan, kesabaran, dan perpaduan bukan tanda kelemahan. Ia tanda kebijaksanaan. Marilah kita melangkah ke hadapan dengan semangat yang lebih kuat untuk melihat Malaysia terus berjaya,” katanya.
Kenyataan ini hadir di tengah-tengah perbincangan hangat mengenai isu-isu semasa yang mencetuskan reaksi pelbagai pihak. Senator Sivaraj berharap agar rakyat dapat menilai sesuatu perkara dengan rasional dan tidak terperangkap dalam permainan emosi yang hanya merugikan negara.