UMNO Wajib Tinggalkan Cara Lama, Dunia Politik Sudah Berubah

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran bahawa parti itu tidak boleh terus terperangkap dalam cara lama kerana landskap politik hari ini sudah berubah sepenuhnya, khususnya dengan kebangkitan generasi muda dan media sosial.

Menurutnya, generasi yang lahir selepas 2008 dan pengundi bawah 40 tahun mempunyai cara berfikir berbeza, sekali gus menuntut pendekatan komunikasi baharu.

“Dulu kita kuat dengan komunikasi bersemuka. Tapi generasi hari ini fikirannya berbeza. Ini realiti yang UMNO mesti terima,” katanya ketika berucap pada Simposium Politik Era Digital 2026 di WTC Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan pemimpin dunia seperti Donald Trump, Narendra Modi dan Prabowo Subianto membuktikan kuasa media sosial, khususnya TikTok, dalam mempengaruhi kemenangan politik.

Beliau mendedahkan, kini 82 peratus sistem komunikasi di negara ini dikuasai komunikasi tanpa lisan melalui media digital, manakala komunikasi lisan hanya sekitar 18 peratus.

“Kalau kita masih guna cara lama, kita akan ketinggalan. Kita mesti keluar dari kepompong lama,” tegasnya.

Zahid turut mengakui pengaruh tokoh UMNO di media sosial masih lemah dan boleh dibilang dengan jari, walaupun parti mempunyai struktur penerangan hingga ke peringkat cawangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) yang menghimpunkan kira-kira 6,400 perwakilan dari 191 bahagian bermula hari ini hingga Sabtu di WTC, dijangka menjadi medan penting menentukan hala tuju UMNO menghadapi PRU16.

BBerkaitan

Latest articles