UMNO Tempelak Tuduhan “Mempersuci DAP”, Dakwa PAS Yang Bersandiwara Politik

KUALA LUMPUR: UMNO menepis tuduhan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti itu kini “mempersuci DAP” susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, baru-baru ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menyifatkan dakwaan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah bersifat ironi memandangkan PAS sendiri pernah menjalinkan kerjasama rapat dengan DAP ketika berada dalam Pakatan Rakyat.

“PAS bukan sahaja menyokong calon-calon DAP di kawasan majoriti Melayu, malah pernah menghalalkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam semata-mata untuk menjaga hati sekutu politik mereka ketika itu.

“Malah ada ketika, PAS sendiri mengarahkan ahli mereka mengundi DAP atas nama tahaluf siyasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Razlan turut menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai penuh emosi dan bersifat sindiran semata-mata untuk menutup kegagalan PAS dalam menarik sokongan rakyat, terutamanya pengundi Melayu.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan UMNO tidak pernah berselindung dalam mempertahankan sensitiviti umat Islam dan tampil tegas dalam isu-isu melibatkan agama dan bangsa.

“Dalam isu stoking kalimah Allah, UMNO segera menuntut tindakan. Begitu juga dengan cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO, UMNO tidak berdiam diri dan terus menzahirkan bantahan,” katanya.

Razlan turut membidas naratif bahawa UMNO telah menggadai prinsip dalam Kerajaan Perpaduan, dengan menegaskan parti itu hanya akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan demi kestabilan negara pasca PRU15.

“UMNO menghormati titah Tuanku, berbeza dengan Perikatan Nasional termasuk PAS yang tetap berkeras mahu menubuhkan kerajaan sendiri meskipun tanpa majoriti.

“Di sinilah rakyat boleh menilai siapa yang mendaulatkan institusi Raja, dan siapa yang membelakangi titah demi kuasa,” ujarnya.

Menurut beliau, kehadiran UMNO dalam Kerajaan Perpaduan telah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membela bangsa dan agama melalui dasar konkrit, bukan retorik semata-mata.

Antara dasar tersebut termasuklah TVET untuk anak muda Melayu, Dasar Tahfiz Negara 2.0, pembiayaan RM800 juta kepada usahawan Bumiputera serta peruntukan RM2 bilion dalam Belanjawan 2025 untuk hal ehwal Islam.

Dalam masa sama, Razlan menyangkal dakwaan kononnya UMNO ditolak oleh pengundi Melayu di Ayer Kuning, dengan menyatakan jumlah majoriti meningkat serta beberapa peti undi yang sebelum ini dimenangi PAS kini dirampas kembali oleh UMNO.

“Ini bukti jelas bahawa naratif ‘UMNO-DAP’ yang dijaja PAS gagal meresap dalam jiwa rakyat. Ia sekadar retorik politik kebencian yang semakin ditolak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Abdul Hadi supaya lebih berakhlak dalam berpolitik dan tidak memperdagangkan fitnah serta emosi demi kepentingan parti.

“UMNO tidak mendakwa diri maksum, tetapi kami terus berusaha menzahirkan perjuangan melalui tindakan nyata, bukan retorik di pentas ceramah,” tambahnya.

Razlan turut menyarankan PAS bermuhasabah mengapa semakin ramai pengundi Melayu menjauh dan retorik Islam yang dibawa parti itu semakin kurang diyakini rakyat.

BBerkaitan

Latest articles