UMNO Tegas Tiada Kompromi Dalam Isu Agama, Bangsa, Raja-Raja Melayu

KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan berkompromi dalam isu yang melibatkan agama, bangsa serta Raja-Raja Melayu, meskipun dalam menjalin hubungan politik dengan mana-mana pihak, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datum Dr. Akmal Saleh.

Beliau menekankan bahawa perjuangan UMNO terhadap tiga teras utama itu bukan sekadar retorik semata-mata, sebaliknya merupakan pendirian kukuh parti sejak penubuhannya.

“UMNO tidak pernah beretorik mengenai agenda agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu. Bukan seperti pemikiran kamu yang hanya menunggang isu ini untuk meraih undi,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Kenyataan tersebut merupakan respons terhadap dakwaan pemimpin Parti Bersatu Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy, yang mendakwa pendekatan UMNO telah menjejaskan prestasi sekutunya, MCA dan MIC.

Ramasamy turut menyifatkan UMNO sebagai tidak jujur dan mendakwa parti itu melepaskan tangan dalam menghadapi cabaran politik yang menimpa rakan-rakan gabungan mereka.

Mengulas lanjut, Dr. Akmal menyelar kenyataan Ramasamy, menyatakan bahawa perjuangan UMNO berteraskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengangkat Islam sebagai agama rasmi dan mempertahankan hak-hak orang Melayu.

“Jika mempertahankan Islam dan Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan menyebabkan kamu tidak mahu menyokong UMNO, silakan. Kami pun tidak kisah,” tegasnya.

“Ini negara yang agama persekutuannya adalah Islam dan hak-hak orang Melayu termaktub dalam perlembagaannya. Maka tolong hormat perkara tersebut sebelum mahu kami hormat kamu,” tambah beliau lagi.

BBerkaitan

Latest articles