Umno Sabah Sedia Bertanding Solo, Bung Label GRS-PH ‘Pakatan Panik’

KOTA KINABALU: Umno Sabah memberi bayangan bahawa parti itu bersedia bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, susulan pengumuman kerjasama rasmi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyifatkan pakatan baharu itu sebagai “pakatan panik” yang dibentuk semata-mata untuk mengelakkan pertembungan kerusi menjelang PRN ke-17.

“Sesuatu pakatan pilihan raya mestilah dibina atas dasar keikhlasan dan integriti, bukan sekadar perkongsian kerusi dan pemilihan calon,” katanya seperti dipetik The Borneo Post.

Menurut Bung, GRS-PH hanya menampilkan imej kerjasama tetapi kekurangan semangat perpaduan sejati.

Beliau juga menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah tidak akan menyertai sebarang kerjasama yang tidak jujur dan tidak ikhlas.

Bung turut menyindir kerjasama GRS-PH sebagai satu pakatan “saat akhir yang cuba dicantikkan” tanpa asas penyatuan kukuh.

“BN Sabah tidak akan menyertai mana-mana kerjasama yang tidak mempunyai perpaduan yang sejati,” tegasnya.

Kenyataan itu muncul selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan harapan agar BN, GRS dan PH dapat bekerjasama dalam PRN Sabah.

Namun, Bung berkata BN Sabah hanya akan mempertimbangkan semula sebarang bentuk kerjasama selepas keputusan PRN diumumkan.

Sementara itu, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu menggesa Umno Sabah agar tidak menutup pintu rundingan, membayangkan kemungkinan perbincangan semula boleh berlaku di saat akhir.

“Mungkin ada kawan dalam kalangan lawan,” kata Zahid, merujuk kepada potensi kompromi antara parti yang kini berada di blok berbeza.

Sebelum ini, Zahid turut menegaskan bahawa kerjasama antara BN dan PH di peringkat nasional telah “dikunci”, meskipun situasi di Sabah tampak lebih rumit dan terbuka.

GRS yang dipengerusikan Datuk Seri Hajiji Noor, telah memeterai persetujuan kerjasama pilihan raya dengan PH bulan lalu, yang turut disahkan oleh Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

BBerkaitan

Latest articles