“Umno Parti Hilang Haluan, Sekadar Penumpang Kuasa” – Khir Toyo

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo, mendakwa Umno hari ini sebagai sebuah parti yang kehilangan arah dan cita-cita politik, sekali gus mendorongnya untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Khir, yang menerajui Selangor dari 2000 hingga 2008, berkata keputusan menyertai Bersatu dibuat selepas menilai realiti politik semasa, di mana Umno kini sekadar menjadi “pelengkap” dalam kerajaan, bukan lagi peneraju seperti dahulu.

“Umno bukan lagi parti yang berjuang untuk menerajui kerajaan. Ia kini hanya sekadar ‘supplement’,” katanya memetik FMT.

Khir menegaskan, hasratnya bukan untuk mengejar jawatan, tetapi untuk membantu parti yang masih memiliki impian untuk membentuk kerajaan dan seterusnya menjaga masa depan orang Melayu.

“Saya cuma nak bantu parti yang ada cita-cita nak jadi kerajaan. Bukan saya nak jadi menteri besar. Tapi kalau nak tolong orang Melayu, mesti ada kuasa,” ujarnya.

Beliau menegaskan keputusan menyertai Bersatu dibuat secara “matang dan mendalam” selepas bertemu pimpinan tertinggi parti itu, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menyentuh isu pembahagian kerusi dalam PRN Selangor 2023, Khir menyifatkan jumlah yang diperuntukkan kepada Umno sebagai bukti jelas bahawa parti itu tidak lagi diberi ruang untuk memimpin.

“Di Selangor, mereka hanya diberi 12 kerusi DUN. Menang semua pun belum cukup untuk bentuk kerajaan. Jadi, apa harapannya untuk jadi menteri besar?”, soalnya.

Beliau turut menjangkakan perkara sama akan berlaku di peringkat Parlimen, mendakwa Umno mungkin tidak akan diberi lebih daripada 40 kerusi dalam PRU akan datang.

Khir menolak dakwaan bahawa penghijrahannya ke Bersatu berpunca daripada kekecewaan peribadi, sebaliknya menyatakan beliau sudah pun mencapai kemuncak dalam politik.

“Saya tak kecewa dalam politik. Saya pernah jadi menteri besar. Tak ada cita-cita nak jadi menteri besar semula.”

Katanya lagi, langkah meninggalkan Umno bukan soal emosi, tetapi soal kelangsungan politik Melayu dalam landskap yang semakin mencabar.

Khir menyertai senarai bekas pemimpin Umno yang kini hilang kepercayaan terhadap hala tuju parti itu, susulan kerjasama dengan Pakatan Harapan dan kedudukan semakin lemah dalam rundingan kerusi.

Khir sebelum ini mencuba untuk kembali ke politik aktif pada PRU15 dengan menyatakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila BN meletakkan Ketua Umno Bahagian, Jamal Yunos, sebagai calon yang akhirnya tewas kepada Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan salah guna kuasa pada 2015, tetapi dibebaskan secara parol selepas enam bulan.

BBerkaitan

Latest articles