UMNO Kekal Sokong Kerajaan Perpaduan, Hormati Pendirian ADUN Negeri Sembilan – SUA UMNO

KUALA LUMPUR : UMNO yang bermesyuarat malam ini susulan isu yang berlaku di Negeri Sembilan menegaskan komitmennya untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan walaupun berdepan perkembangan semasa yang melibatkan krisis institusi dan politik di Negeri Sembilan.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia yang bersidang hari ini mengambil maklum dan membincangkan secara serius polemik yang melibatkan Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan.

Menurut kenyataan itu, UMNO tetap berpegang kepada asas Perlembagaan parti, khususnya Fasal 3.1 yang menekankan kepentingan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara.

“UMNO memandang serius perkembangan mutakhir yang mencetuskan polemik besar serta salah faham dalam kalangan anggota parti komponen Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya.

Pada masa sama, UMNO turut mengambil maklum penjelasan daripada kepimpinan negeri berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional yang dilaporkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan.

Namun, parti itu menegaskan pendiriannya untuk menghormati keputusan ADUN terbabit, sambil terus menyokong kerajaan sedia ada demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas.

“UMNO berpendirian untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, UMNO mencadangkan agar satu pertemuan segera diadakan antara Biro Politik UMNO dan Pakatan Harapan bagi merungkai isu-isu berbangkit, selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan.

Langkah itu dilihat penting bagi memastikan sebarang perbezaan pendirian dapat diselesaikan melalui saluran rundingan, sekali gus mengelakkan ketegangan politik berpanjangan.

Kenyataan tersebut mengesahkan bahawa walaupun wujud tekanan politik di peringkat negeri, UMNO masih memilih pendekatan kestabilan dengan mengekalkan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional dan negeri.

BBerkaitan

Latest articles