UMNO Kedah Gesa Siasatan Dakwaan Solat Jumaat Bersama Bunian

KUALA LUMPUR: UMNO Kedah menggesa Pejabat Mufti Negeri Kedah bertindak tegas dan segera menyiasat dakwaan tular berkaitan solat Jumaat bersama makhluk halus (bunian) yang dikaitkan dengan seorang individu bergelar tokoh agama.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, dakwaan luar biasa seperti itu bukan sahaja tidak masuk akal, malah berpotensi mencetuskan penyelewengan akidah serta mencemarkan kefahaman umat Islam terhadap ibadah asas seperti solat Jumaat.

“Institusi agama seperti Pejabat Mufti tidak boleh dibiarkan dibayangi oleh ketakutan terhadap reperkusi politik. Jika sesuatu yang salah tidak ditegur hanya kerana individu itu ada pengaruh atau pengikut, maka kita sedang merosakkan agama dari dalam,” tegasnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kenyataan itu susulan tularnya satu klip video berdurasi 1 minit 31 saat yang memaparkan seorang pendakwah terkenal mendakwa pernah menunaikan solat Jumaat bersama makhluk bunian.

Video tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat Islam di media sosial.

Semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memaklumkan sedang menjalankan siasatan dan akan memanggil individu terbabit untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Shaiful menegaskan bahawa Pejabat Mufti Kedah perlu bersikap berani dan telus dalam menangani isu ini tanpa gentar terhadap sebarang tekanan politik atau sentimen luar.

“UMNO Kedah memberi jaminan untuk berdiri teguh mempertahankan institusi Pejabat Mufti daripada sebarang cubaan mengganggu tugas mereka dalam menjaga kesucian agama Islam dan menyampaikan ilmu yang sahih kepada masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan berunsur sensasi seperti itu tidak boleh dikompromi kerana berisiko mengelirukan umat dan membuka ruang kepada kemunculan ajaran menyimpang.

“Agama Islam tidak boleh dipermainkan atas nama karamah atau cerita sensasi. Jangan kompromi dengan kebatilan,” tegasnya.

Pejabat Mufti Negeri Kedah sehingga kini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

BBerkaitan

Latest articles