Ucapan Tok Mat Tegaskan UMNO Perlu Realistik, Berprinsip & Berani Berubah

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, YB Datuk Seri Utama Mohamad Haji Hasan, menegaskan bahawa UMNO mesti berdepan realiti politik semasa dengan penuh kejujuran, kebijaksanaan dan keberanian untuk berubah sekiranya mahu kembali relevan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Berucap ketika Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, pada 14 Januari 2026, beliau mengingatkan bahawa kemarahan rakyat terhadap kos sara hidup dan ketidakstabilan ekonomi bukan fenomena tempatan semata-mata, sebaliknya sebahagian daripada gelombang global.

“Tahun-tahun kebelakangan ini adalah ombak pilihan raya global. Rakyat di seluruh dunia sedang marah, dan mereka tidak lagi peduli sejarah parti jika kehidupan mereka tertekan,” katanya.

Menurut beliau, keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah menjadi isyarat jelas bahawa UMNO perlu memperbaiki pendekatan, khususnya dalam memahami sentimen tempatan dan keperluan generasi muda.

Dalam mempertahankan penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, Mohamad Hasan menegaskan bahawa keputusan itu dibuat demi kestabilan negara, bukan kerana ketamakan kuasa.

“Kita masuk kabinet untuk bina kestabilan. UMNO adalah sauh yang memastikan kapal negara tidak karam,” tegasnya.

Beliau turut menolak persepsi bahawa UMNO telah menggadaikan prinsip, sebaliknya menegaskan tiga Garis Merah yang tidak boleh disentuh iaitu hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam, serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini kekal mati bersama UMNO,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau menyeru seluruh jentera parti agar berhenti menjual nostalgia sejarah dan mula menawarkan solusi masa depan, khususnya kepada Generasi Z dan Alpha.

“Berhenti jual sejarah. Mulakan jual masa depan,” katanya sambil menekankan keperluan pembaharuan, pendigitalan parti dan pendekatan politik yang lebih segar.

Ucapan tersebut memperlihatkan pendirian jelas UMNO untuk kembali bangkit sebagai parti yang berprinsip, bertanggungjawab dan relevan dalam landskap politik baharu negara.

BBerkaitan

Latest articles