KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, menggesa satu pertemuan tertutup antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjernihkan kekeliruan berhubung tuduhan penyelewengan dana parti yang kembali diperkatakan.
Menurut Tun Faisal, dakwaan Mahathir bahawa Muhyiddin kononnya ‘mencuri’ dana Bersatu berkemungkinan berpunca daripada maklumat yang tidak tepat.
Justeru katanya, penjelasan secara bersemuka antara kedua-dua tokoh berkenaan adalah langkah paling wajar bagi mengelakkan salah faham berpanjangan, apatah lagi isu itu tidak pernah dibangkitkan dalam pelbagai pertemuan mereka sebelum ini.
Kenyataan itu dibuat susulan penularan sebuah klip video berdurasi kira-kira dua minit yang didakwa memaparkan Mahathir menuduh Muhyiddin menyalahgunakan wang parti dan menyimpannya di rumah, selain mendakwa beliau mahu menjadi perdana menteri bagi mengelak tindakan undang-undang.
Tuduhan tersebut bagaimanapun dinafikan Muhyiddin yang menegaskan semua sumbangan kepada Bersatu dimasukkan ke akaun rasmi parti dan diuruskan bendahari agung.
Dalam masa sama, Tun Faisal menyifatkan dakwaan bahawa Muhyiddin berhasrat memegang jawatan perdana menteri semata-mata untuk mengelak dipenjara sebagai tidak munasabah.
Beliau mengingatkan bahawa Muhyiddin sendiri pernah menyatakan kesediaan untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Bersatu pada 2023.
“Jika benar beliau takut dipenjarakan, tidak logik untuk melepaskan jawatan tertinggi parti. Bukankah lebih selamat untuk terus berpegang kepada kuasa?” katanya.
Untuk rekod, hubungan antara Mahathir dan Muhyiddin yang sebelum ini rapat menjadi renggang selepas peristiwa Langkah Sheraton pada 2020 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Namun, kebelakangan ini hubungan kedua-dua pemimpin veteran itu dilihat kembali lebih terbuka dan mesra.










