Tular Video ‘Live’ Berunsur Lucah, Model Rusia Tampil Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Seorang model warga Rusia, Alice Kasimova, tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa perbualan berunsur lucah oleh seorang pempengaruh lelaki tempatan dalam satu sesi siaran langsung di media sosial baru-baru ini.

Alice dilaporkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar jam 5.37 pagi tadi bagi membuat laporan selepas rakaman insiden itu tular di pelbagai platform media sosial.

Difahamkan, dalam video berkenaan, pempengaruh terbabit dipercayai mengeluarkan komen berbaur lucah terhadap Alice yang ketika itu duduk berhampiran sebuah restoran.

“Saya buat laporan bukan sebab marah, tetapi untuk menegakkan hak wanita. Saya tak mahu wanita lain berasa takut mempertahankan diri apabila diperlakukan secara tidak sopan di tempat awam,” katanya.

Sumber polis mengesahkan laporan berhubung insiden itu telah diterima dan siasatan kini dijalankan untuk mengenal pasti individu terlibat.

Sementara itu, rakaman berkenaan turut mencetus perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial, yang menyifatkan tindakan merakam serta berinteraksi secara tidak sopan dengan individu tanpa kebenaran sebagai perbuatan tidak beretika.

BBerkaitan

Latest articles