KUALA LUMPUR : Berikutan tragedi menyayat hati yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan di Teluk Intan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang meneliti beberapa langkah tambahan bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam pengangkutan anggotanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata beberapa cadangan penambahbaikan sedang diperhalusi melalui perbincangan bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
“Keselamatan anggota adalah keutamaan utama. Isu ini bukan hanya melibatkan FRU, tetapi juga pasukan lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) yang turut menggunakan jenis lori sama untuk pergerakan anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara perkara utama yang diberi perhatian adalah struktur bangku panjang di dalam trak, yang disifatkan tidak serasi dengan sistem keselamatan sedia ada seperti tali pinggang keledar atau pelindung hentakan.
Alternatif yang sedang dikaji termasuk penggunaan bas sebagai pengangkutan utama bagi membawa anggota ke lokasi operasi, namun kekangan bajet menjadi antara cabaran utama.
“Jumlah anggota yang ramai memerlukan lebih daripada satu bas, dan ini perlu penelitian lanjut dari segi logistik dan kos,” jelas Razarudin.
Dalam usaha menambah lapisan keselamatan, PDRM turut mempertimbangkan penempatan kereta peronda sebagai pengiring konvoi.
Di bawah cadangan ini, setiap konvoi akan dikawal oleh kenderaan pengiring dan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) berikutnya apabila merentasi sempadan negeri.
Razarudin menjelaskan bahawa semua keputusan hanya akan dimuktamadkan selepas sesi libat urus bersama kepimpinan KDNKA dalam masa terdekat.
Dalam tragedi yang berlaku semalam, sembilan anggota FRU maut selepas trak yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.
Seramai 18 anggota termasuk pemandu berada dalam trak tersebut, dan mereka difahamkan sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai tugasan kawalan perarakan sambutan Hari Wesak.