Tragedi Berulang Di Matahari Height: Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Van Langgar Lampu Merah

KUALA LUMPUR: Tragedi akibat kecuaian pemandu kembali meragut nyawa di persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Persiaran Senawang 1, lokasi sama yang sebelum ini menyaksikan tiga sekawan maut dirempuh sebuah Honda Jazz.

Dalam kejadian terbaharu tengah malam tadi, seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun maut di tempat kejadian selepas dirempuh sebuah van jenis Toyota Hiace yang didakwa melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 12.10 tengah malam ketika van yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun bersama penumpang wanita berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah Senawang ke Bahau.

“Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat Matahari Height menghala ke Paroi, pemandu van dipercayai gagal berhenti ketika lampu isyarat merah dan melanggar motosikal mangsa dari arah sebelah kiri.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemandu dan penumpang van tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat, manakala pemandu van ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan itu turut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) dan tular di media sosial sejak awal pagi, memaparkan detik tragis van merempuh motosikal sekitar jam 11.55 malam.

Polis menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat lanjut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

BBerkaitan

Latest articles