KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan menggesa pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung serbuan ke atas satu perjumpaan kontroversi di sebuah banglo di Kemumin, bulan lalu, yang didakwa sebagai ‘pesta seks sejenis’.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata kerajaan negeri tidak mahu wujud sebarang salah faham, fitnah atau penghakiman masyarakat sebelum kebenaran disahkan secara sahih.
“Kami tidak mahu mana-mana pihak menjadi mangsa salah faham atau kecaman tanpa bukti. Prinsip keadilan mesti ditegakkan berdasarkan siasatan yang telus,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Isu berkenaan mencetuskan perdebatan awam apabila beberapa NGO dan individu tampil menafikan dakwaan wujudnya pesta liar atau aktiviti seksual songsang dalam acara yang diadakan pada 17 Jun lalu.
“Mereka menegaskan tiada unsur perkhidmatan seksual atau pelanggaran undang-undang berlaku. Sekiranya siasatan polis mendapati dakwaan itu benar, maka tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak terlibat,” katanya.
Namun begitu, jika sebaliknya, dan dakwaan NGO serta individu berkenaan terbukti tepat, tindakan memperbetulkan keadaan perlu dilaksanakan, jelas beliau.
“Kita serahkan kepada polis untuk menentukan kebenaran. Jika berlaku ketidaktepatan dalam tindakan sebelum ini, pembetulan secara berhikmah juga penting demi keadilan semua pihak,” tambahnya.
Dr Mohamed Fadzli turut mengingatkan mana-mana pihak yang bercadang menganjurkan program, khususnya yang sensitif atau boleh menimbulkan kekeliruan, supaya mendapatkan kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu.
“Kegagalan mematuhi garis panduan boleh mengundang kesan negatif, termasuk menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas tindakan pantas mengekang unsur yang boleh mencetuskan kemungkaran, namun menyeru semua pihak untuk berlapang dada dalam menghadapi polemik ini.
Sementara itu, Majlis AIDS Malaysia (MAC) semalam menjelaskan, acara yang diserbu pihak polis itu sebenarnya adalah satu program kesedaran HIV yang dianjurkan sebagai pendekatan strategik diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Majlis tersebut berlangsung dari jam 8 malam hingga 2 pagi dan bertujuan mendekati komuniti berisiko tinggi dalam usaha mencegah penularan HIV secara inklusif dan berpaksikan kepada komuniti.
Namun, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mempertahankan tindakan pasukan polis dengan menyatakan bahawa serbuan dilakukan berdasarkan “bukti kukuh” yang dimiliki pihak berkuasa.