Timbalan Ketua Penerangan Bersatu Didakwa Terima Rasuah Bernilai RM235,000 dan Tiga Kereta Mewah

SHAH ALAM, – Timbalan Ketua Penerangan Parti Bersatu Malaysia ( PPBM, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 20 pertuduhan menerima rasuah berupa wang tunai berjumlah RM235,000 dan tiga buah kenderaan mewah daripada pengarah sebuah syarikat subkontraktor.

Tiga kereta mewah yang didakwa diterima sebagai suapan adalah BMW 730Li, Land Rover Range Rover, dan Bentley Flying Spur.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Ali, 61, didakwa menerima suapan tersebut daripada Pengarah Benalec Sdn Bhd, Datuk Leaw Seng Hai antara 18 April 2024 hingga Januari 2025. Suapan itu dikatakan sebagai balasan melantik syarikat berkenaan sebagai subkontraktor projek penambakan laut seluas 100 ekar di kawasan Kota Laksamana, Bandar 6, Daerah Melaka Tengah, Melaka — projek bernilai lebih RM45 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Tingkat 2, No. 23, Jalan Perintis U1/52, Glenmarie Temasya, Seksyen U1, Shah Alam.

Mohamad Ali, yang juga Bekas Yang Dipertua Dewan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri, didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694). Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan sebanyak RM60,000 dengan syarat penyerahan pasport antarabangsa tertuduh sehingga kes selesai. Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud membenarkan permohonan tersebut.

Mahkamah turut mengarahkan agar Mohamad Ali tidak berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Mohamad Ali diwakili oleh peguam Md Yunos Shariff.

Untuk rekod, beliau sebelum ini pernah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu selepas pasukan penyiasat menyerbu kediamannya di Tangga Batu, Melaka.

BBerkaitan

Latest articles