MELAKA: Seorang penganggur menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis selepas mengaku bersalah menikam seorang remaja perempuan yang juga saudaranya gara-gara berang cintanya ditolak.
Tertuduh, Muhammad Hidayat Burhan, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah menikam mangsa yang berusia 18 tahun menggunakan sebilah pisau yang boleh menyebabkan kematian di Jalan Tangga Batu, berhadapan Taman Tangga Batu,di sini kira-kira jam 4.05 petang pada 20 Oktober lalu.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, penjara boleh meningkat hingga maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menyesal atas perbuatannya serta mengakui mengenali mangsa yang pernah cuba dipikatnya sebelum kejadian.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal berikutan perbuatan tertuduh telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan membahayakan nyawa.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia tangkapnya pada 21 Oktober lalu.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Tangga Batu, cedera di pinggang selepas dipercayai dilibas objek tajam oleh seorang lelaki ketika membonceng motosikal bersama kakak iparnya.
Mangsa menyedari kesan luka di belakang badan selepas tiba-tiba berasa sakit, sebelum hasil siasatan mendapati suspek yang juga saudaranya bertindak demikian kerana menyimpan perasaan terhadap mangsa.
Suspek kemudian berjaya ditahan polis beberapa jam selepas kejadian.










